Dia memberitahu, sebelum ini perbincangan awal membayangkan bahawa penstrukturan semula di bahagian kejurulatihan akan dilakukan tetapi perkara itu hanya akan diputuskan semasa mesyua­rat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) minggu hadapan.

“Paling penting perkara ini perlu dibawa kepada C&T untuk dibincangkan dan melihat sejauh mana penerimaan semua ahli di dalam jawatankuasa itu sebelum keputusan terbaik dilakukan.

“Saya tidak dapat pastikan apa yang bakal berlaku kerana bergantung kepada keputusan C&T selepas keputusan dibuat, kami akan melaksanakannya,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Selepas kekalahan 1-3 kepada Jepun dalam suku akhir Piala Sudirman minggu lalu Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberi bayangan bahawa pihaknya akan melakukan penyusunan semula terhadap struktur kejurulatihan.

Cadangan itu disuarakan selepas mendapati skuad kebangsaan masih belum mencapai stan­dard kuasa besar badminton dunia.

Jawatankuasa C&T juga dijang­ka membincangkan sama ada gandingan V Shem-Wee Kiong perlu dipisahkan setelah prestasi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu semakin merosot kebelakangan ini.

Frost bagaimanapun berkata, BAM tidak boleh membuat sebarang keputusan mengejut berdasarkan keputusan semasa yang diraih dalam Piala Sudirman sebaliknya penilaian harus dilakukan secara berterusan.

Namun Frost tidak dapat me­nyembunyikan perasaan kecewanya selepas beregu lelaki negara tewas dua kali kepada pasangan Jepun Takeshi Kamura-Keigo Sonoda di Gold Coast dan menyifatkan kekalahan kedua itu adalah tidak wajar.

Meskipun gagal mencapai sasaran separuh akhir seperti yang ditetapkan BAM, namun legenda badminton Denmark itu masih percaya sebenarnya Malaysia mempunyai kemampuan untuk menewaskan Jepun dalam perlawanan itu.

“Jepun memang cukup kuat di dalam acara wanita dan Malaysia mempunyai kekuatan dalam perseorangan lelaki dan beregu campuran, (maka) akhirnya beregu lelaki yang menjadi penentu tetapi kita dikecewakan.

“Perlu diingatkan bahawa beregu lelaki Jepun itu bukan calang-calang lawan kerana mereka juga pernah menjadi pasangan No.1 dunia dan cukup konsisten berada dalam ranking lima terbaik dunia,” katanya.