Lebih mengecewakan, pemain beregu yang berada di bawah bimbingannya gagal menunjukkan prestasi baik dan antara punca kekalahan Malaysia ketika menentang Denmark (perlawanan ter­akhir Kumpulan D) serta dalam suku akhir bertemu Indonesia.

Begitupun, Soon Kit menegaskan, walaupun pulang ke Kuala Lumpur dengan penuh kehampaan, namun dia tidak akan terburu-buru me­lakukan rombakan terhadap beregu senior kerana enggan mengambil risiko.

“Kita tidak boleh kata mereka gagal dengan teruk, beregu kita kalah kepada pasangan yang berada di ranking lebih baik.

“Apabila balik nanti, kami kena bincang dan buat bedah siasat apa yang perlu dilakukan, namun tidak ba­nyak pertukaran boleh dibuat dalam masa terdekat kerana persiapan untuk Kejohanan Dunia (di Nanjing dari 30 Julai hingga 5 Ogos) perlu diberi keutamaan, selain Sukan Asia.

“Walau bagaimanapun, kita perlu memberi perhatian serius kepada pemain muda di bawah 21 tahun. Ini adalah masa depan badminton negara, kita kena siapkan mereka lebih awal,” kata Soon Kit.

Turun sebagai pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal meraih mata apabila bertemu beregu terbaik dunia seperti Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo (Indonesia) dan Mads Conrad-Petersen-Mads Pieler Kolding (Denmark).

Gandingan muda, Aaron Chiah-Teo Ee Yi juga gagal menghadiahkan mata dalam pertemuan dengan Denmark dan Indonesia tetapi berjaya memberi tentangan hebat kepada lawan yang jauh lebih berpengalaman dengan mengheret permainan ke set ketiga.

“Mereka (Aaron-Ee Yi) menunjukkan prestasi baik dan memenuhi jangkaan, cuma malang sekali mereka tidak menang ketika bertemu Indonesia serta Denmark,” ujarnya. – UTUSAN