Beregu campuran No. 2 negara itu mencatat kemenangan mudah 21-17, 21-13 ke atas Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari pada pertarungan selama 33 minit di Stadium Tertutup Singapura di sini.

Soon Huat-Jemie Lai, pilihan kedua kejohanan akan berdepan wakil Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di separuh akhir esok.

Pasangan Thailand itu mara ke separuh akhir selepas terpaksa berhempas pulas selama 52 minit sebelum mengalahkan gandingan Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung 18-21, 21-8, 21-16.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir beregu campuran, pilihan utama dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir akan berdepan pasangan senegara, AKhbar Bintang Chayono-Winny Oktavina Kandow.

Tontowi-Liliyana hanya memerlukan masa 31 minit untuk meneruskan buruan gelaran apabila menyingkirkan pilihan ketujuh, Reginald Lee-Chau Hoi Wah dari Hong Kong 21-16, 21-15.

Akhbar-Winny pula menyingkirkan gandingan Taiwan, Liao Min Chun-Chen Hsiao Huan 21-10, 21-13 dalam masa 25 minit pada satu lagi aksi suku akhir.

Sementara itu, wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki, Chong Wei Feng gagal meneruskan cabaran pada kejohanan bernilai AS$355,000 (RM1.44 juta) itu apabila tunduk kepada pemain China, Qiao Bin 14-21, 18-21.

Beregu lelaki negara, Mohamad Arif Latif-Nur Mohd. Azriyn Ayub pula tewas kepada beregu China,Ou Xuanyi-Xiangyu Ren 21-9, 16-21, 15-21 dalam masa 45 minit. – BERNAMA