Aksi di Stade Pierre de Coubertin, Paris menyaksikan Soon Huat-Shevon tewas 16-21, 14-21 kepada pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kim Ha Na.

Keputusan itu menyaksikan pasangan negara itu gagal mengulangi aksi cemerlang yang ditampilkan di Odense minggu lalu, apabila mara ke aksi separuh akhir.

Bagaimanpun, pasangan beregu campuran No.1 negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan Nipitphon Phuangphuapet-Jongkolphan Kititharakul 22-20, 21-13 dalam tempoh 41 minit.

Kejayaan itu menyaksikan mereka bakal berdepan cabaran pasangan tuan rumah, Ronan Labar-Audrey Fontaine yang mengetepikan cabaran pasangan Denmark, Anders Skaarup Rasmussen- Line Hojmark Kjaersfeldt 21-18, 21-14.

Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei akan memulakan aksi hari ini dengan pertemuan menentang Kenta Nishimoto dari Jepun manakala pasangan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei akan berdepan tentangan pilihan ketujuh dari Jepun, Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto.

Satu lagi pasangan beregu wanita, Tee Jing Yi-Soong Fie Cho bakal berdepan cabaran besar apabila bakal bertemu juara Terbuka Denmark, Lee So Hee-Shin Seung Chan.

Pasangan beregu lelaki yang baru sahaja digandingkan, Goh V Shem-Teo Ee Yi akan memulakan kempen dengan menentang Or Chin Chung-Tang Chun Man dari Hong Kong manakala Ong Yew Sing-Tan Wee Kiong akan bertemu pasangan Jerman, Jones Ralfy Jansen-Josche Zurwonne.-UTUSAN ONLINE