Peguam yang mewakili Zulfadli, Datuk Joshua Kevin berkata, pemain itu sendiri tidak tahu dia disabitkan kesalahan bagi sebarang perlawanan khusus cuma dituduh berdasarkan kepada kejohanan yang disertainya sahaja.

Bagaimanapun, beliau percaya kes itu boleh dicabar kerana tiada bukti kukuh yang menyatakan pemain itu terlibat dengan kesalahan mengatur perlawanan sebaliknya dituduh dengan menggunakan beberapa perkataan yang terdapat di dalam aplikasi Whatsapp sahaja.

Katanya, pihak pendakwaan hanya menggunakan beberapa perkataan di dalam Whatsapp yang kebetulan berlaku semasa kejohanan-kejohanan berkaitan tetapi pada hakikatnya tidak berkaitan dengan kesalahan mengatur perlawanan.

“Persoalan ini ada diajukan semasa perbicaraan di Singapura, kami bertanyakan perlawanan mana satu yang khusus dia terlibat dengan kesalahan mengatur perlawanan ini.

“Kalau dilihat dalam keputusan 65 muka surat yang dikeluarkan, mereka tidak menjelaskan secara terperinci perlawanan yang Zulfadli terlibat dengan mengatur perlawanan, cuma wujud beberapa perkataan maka hanya ada andaian ada berlakunya mengatur perlawanan.

“Beritahu kami secara terperinci perlawanan yang terlibat dengan mengatur perlawanan, supaya mudah untuk kami membuat pembelaan dan kalau dalam keadaan ini memang mustahil untuk pembelaan dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar khas, di sini hari ini.

Selasa lalu, BWF menjatuhkan hukuman penggantungan 20 tahun daripada terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan badminton terhadap Zulfadli selain denda sebanyak AS$25,000 (RM98,358).

Masalah utama yang dihadapi pemain berusia 25 tahun itu ialah masalah untuk melunaskan denda tersebut selain dipercayai hilang keyakinan terhadap badan induk sukan badminton dunia itu.

Joshua melontarkan persoalan kepada BWF, adakah Zulfadli terlibat dengan kesalahan mengatur perlawanan bagi kesemua kejohanan Grand Prix yang disertainya sepanjang 2013?

Katanya, jika perkara itu dijadikan asas pertuduhan maka ia adalah satu penghinaan buat pemain yang menang dalam perlawanan itu kerana mengandaikan bahawa pemain lain tidak layak untuk mengalahkan Zulfadli.

“Terdapat pertuduhan yang menyatakan dia tidak bermain bersungguh-sungguh dan atas dasar itu dia dikatakan mengatur perlawanan, sebagai contoh, jika dia bertemu Lin Dan, dia memang akan kalah kerana berdepan pemain yang lebih hebat daripadanya tetapi dia dikatakan tidak bermain bermati-matian, maka dia dituduh mengatur perlawanan.

“Isu utama sekarang ini ialah, jelaskan kepada kami perlawanan mana yang dia terlibat sebenarnya,” katanya.- UTUSAN ONLINE