Mat Sport
Mat Sport

Berdasarkan kepada perkembangan semasa, Mat melihat kedua-dua calon ini akan menampilkan idea terbaik mereka bagi menentukan siapa di antara mereka paling layak untuk mengisi jawatan No.1 BAM itu.

Bagi Mat, pendekatan berkenaan sangat baik memandangkan kedua-dua pemimpin itu memiliki visi tersendiri untuk menaikkan semula imej Malaysia sebagai kuasa besar dalam sukan badminton dunia.

Tetapi ada satu perkara yang menarik perhatian Mat dalam isu ini ketika pertemuan itu berlangsung kelak. Sesi pembentangan itu bakal menentukan siapa yang memiliki wawasan terbaik akan diberikan laluan untuk mengisi kerusi No. 1 itu. Siapakah yang akan mengadilinya?

Persoalan ini sangat menarik untuk diketengahkan. Apakah mereka bersedia untuk menerima hakikat sekiranya idea lawan lebih baik?

Pendekatan dilihat tidak ubah seperti pemilihan Presiden Amerika Syarikat. Cuma pembentangan mungkin dibuat secara tertutup. Itu tidak dapat dipastikan atau mungkin ada orang-orang yang dipilih untuk membuat penilaian terperinci.

Perkembangan ini sangat menarik kerana ia sudah memasuki fasa baharu yang jarang sekali diadakan dalam mana-mana persatuan sukan di negara ini.

Dalam situasi sekarang ini Mat berpendapat, calon yang memiliki trump card akan menjadi Presiden BAM yang baharu pada 29 April ini.

Mat doakan akan kata putus dicapai dengan kedua-dua calon meletakkan kepentingan badminton mengatasi yang lain.