Semalam, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberi bayangan bakal melakukan rombakan dalam pasukan yang melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar bagi memastikan Malaysia tampil lebih mantap pada Piala Thomas di Bangkok, Mei ini.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit mengakui, kecewa dengan persembahan yang ditampilkan Ee Yi-Yew Sin sepanjang kempen di Alor Setar yang juga pentas kelayakan Piala Thomas.

Pasangan itu yang diturunkan selaku beregu kedua di belakang Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal menampilkan persembahan diinginkan selepas tewas dua kali ketika diturunkan menentang Thailand di peringkat kumpulan dan China pada separuh akhir.

“Memang kami kecewa dengan pasangan kedua dan saya lihat tempoh tiga bulan ini cukup untuk memperbaiki pasukan, begitupun pasangan pertama berjaya ber­aksi dengan baik.

“Mereka ini mungkin akan bermain pada Terbuka Jerman dan All England, dan harap mereka boleh menang salah satu kejohanan ini.

“Pada masa sama kami akan bentuk satu lagi gandingan baharu dan lihat sama ada keha­diran pasangan ini boleh memberi cabaran kepada beregu kedua,” katanya.

Sementara itu, Daren pula di­sebut-sebut sebagai pemain yang layak melengkapkan kuota perseo­rangan lelaki biarpun tidak lagi bernaung di bawah skuad kebangsaan kerana prestasi baik yang ditunjukkan akhir-akhir ini.

Pemain berusia 30 tahun itu yang meninggalkan BAM dua tahun lalu, melangkah ke separuh akhir Malaysia Masters dan Thailand Masters, bulan lalu.

Hanya Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia menampilkan aksi meyakinkan di Alor Setar, manakala Iskandar Zulkarnain Zainuddin serta Soong Joo Ven masih perlu membuktikan me­ngapa mereka layak membawa cabaran Malaysia di Bangok.

Menurut Chong Wei, kejayaan layak ke Piala Thomas secara merit adalah sesuatu yang positif, tetapi perjalanan pasukan negara masih jauh.

“Perjalanan kita belum habis, ini baru kelayakan jadi kita perlu persiapkan diri untuk kejohanan sebenar,” kata Cong Wei.