Seu Bock yang melawat jaguh badminton negara itu bersama seorang lagi jurulatih, Hendrawan di Taiwan minggu lalu berkata, biarpun kelihatan lemah, Chong Wei tampak sa­ngat kuat, malah dia bersema­ngat setiap kali mereka bercakap tentang badminton.

“Memang semangat dia jatuh selepas mendapat tahu dia menghidap kanser tetapi dia seorang yang kuat. Saya sudah kenal dia untuk tempoh yang lama, sejak usianya 19 tahun...Saya tahu Chong Wei mampu melawan penyakit dan menghadapi ujian ini dengan tabah.

“Saya bertanya khabar dan tentang penyakitnya, dia ada bercerita mengenai rawatan yang diterima di sini. Saya tidak boleh bercerita lanjut, apa yang saya kata rawatannya berjalan baik dan sudah selesai. Dia akan kembali ke tanah air dalam tempoh terdekat.

“Bagaimanapun sepanjang saya dan Hendrawan me­nemuinya di hospital, dia lebih banyak bercakap tentang badminton daripada penyakitnya. Dia bertanya tentang pemain Malaysia dalam Sukan Asia, Kejohanan Dunia dan pertan­dingan lain sepanjang ketia­daannya.

“Malah, Chong Wei sempat berjenaka mengenai (Kento) Momota (Jepun) yang berjaya menjadi juara dunia, dia kata, Momota boleh menang sebab dia tiada, kalau tidak, susah Momota hendak menjadi juara.

“Dia juga bertahu saya, ‘Sabar coach, tunggu saya balik...nanti kita training sama-sama’, memang saya tahu dia tidak sabar untuk balik ke Malaysia dan menjalani latihan semula.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihaknya apakah yang mahu dia lakukan selepas ini. Bagi saya, kalau dia mahu kembali dalam badminton, sama ada sebagai pemain, jurulatih atau apa juga kedudukan, saya akan sentiasa sokongan 100 peratus.

“Dia amat cintakan badminton dan saya yakin dia akan kembali,” kata Seu Bock ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Seu Bock antara individu yang amat rapat dengan Chong Wei memberitahu, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu mula menjalani rawatan sejak bulan lalu dan dia ditemani semua ahli keluarganya, termasuk isteri serta anak-anaknya sepanjang sebulan di Taiwan.

Katanya lagi, rawatan Chong Wei, 36, sepatutnya hanya ber­akhir pada pertengahan Oktober, namun ketahanan badannya yang tinggi membolehkan proses pemulihan berjalan lebih cepat berbanding jangkaan awal.