Ketika usianya sudah mencecah 29 tahun, Liek Hou masih gagah menggenggam raket untuk mempertahankan kejuaraan dalam kategori SU5 (kecacatan bahagian atas badan) yang kali terakhir diraih di England, dua tahun lalu.

Selepas Kejohanan Dunia, sasaran Liek Hou ialah beraksi dalam Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Kali pertama badminton dipertandingkan pada temasya itu, Liek Hou sudah tentu mahu duduk sebaris dengan pemenang pingat emas Paralimpik negara seperti Mohamad Riduan Mohamad Puzi, Abdul Razak Latiff dan Ziyad Zulkifli.

Justeru, pemenang pingat emas Sukan Para ASEAN 2017 itu mahu mempersiapkan diri lebih awal dan memastikan dia layak beraksi.

Liek Hou berharap gelaran dunia yang dimenangi dapat menaikkan motivasinya untuk memburu tiket Tokyo 2020.

“Saya harap gelaran dunia dapat membantu saya dan rakan sepasukan lebih bermotivasi pada pertandingan akan datang,” katanya yang menum­paskan Suryo Nugroho dari Indonesia dalam final.

Liek Hou berkata, sokongan kerajaan juga amat penting bagi membantu dia dan rakan se­perjuangan yang lain membuat persediaan sempurna menje­lang Paralimpik.

Liek Hou yang menghidap masalah Erb palsy iaitu saraf bahagian atas tangan kanannya rosak sejak lahir pernah memberitahu, kekurangan pertandingan untuk atlet para mendorongnya memanfaatkan setiap peluang yang terbuka.

Liek Hou turut berpasangan dengan Hairol Fozi Saaba dalam beregu lelaki dalam Kejohanan Dunia, namun gagal mempertahankan emas yang dimenanginya, dua tahun lalu.