Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Sukan dan Riadah Carrara itu, skuad campuran negara yang diketuai Datuk Lee Chong Wei tidak langsung memberi muka kepada lawannya, England dengan kemenangan terus 3-0 tanpa perlu bermain dalam baki dua aksi lagi iaitu beregu wanita dan beregu campuran.

Chong Wei sendiri selaku ketua pasukan tampil bergaya untuk meraih mata kemenangan yang diperlukan apabila menewaskan pemain England, Rajiv Ouseph 21-18, 21-16 ketika turun sebagai wakil ketiga dalam acara perseorangan lelaki.

Terdahulu, beregu lelaki No. 1 negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang turun sebagai wakil pertama tidak menghampakan apabila menewaskan gandingan England, Chris Langridge-Marcus Ellis 21-9, 21-11 dalam masa 32 minit.

Soniia Cheah Su Ya yang turun dalam aksi kedua acara perseorangan wanita selepas itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sehingga diheret tiga set sebelum menang ke atas lawannya, Chloe Birch 21-17, 15-21, 21-18 dalam masa 67 minit.

Dengan kemenangan itu, Malaysia bakal menempah pertemuan dengan India esok untuk penentuan pingat emas manakala penentuan gangsa antara Singapura dan England.

India yang diketuai K. Srikant sebelum itu mara ke final selepas menewaskan Singapura 3-1.

Sebagai rekod, jika Malaysia berjaya menewaskan India esok, ia bukan sahaja memenangi emas tetapi juga berjaya mempertahankan gelaran juara Sukan Komanwel buat kali keempat berturut-turut.

Badminton berpasukan menjadi penyumbang tetap pingat emas kepada kontinjen Sukan Komanwel negara sejak temasya 2006 di Melbourne, Australia diikuti 2010 di New Delhi, India dan 2014 di Glasgow, Scotland.