KERK CHEE YEE
KERK CHEE YEE 

Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka Kerk Chee Yee, berkata, untuk peringkat awal pengusaha gelanggang badminton komersil digalakkan memastikan sekurang-kurangnya seorang petugas di premis berkenaan mempunyai latihan asas atau mampu memberi bantuan awal kecemasan kepada pelanggan yang mengalami serangan jantung.

Beliau berkata keperluan berkenaan penting kerana serangan jantung di gelanggang badminton dilihat antara insiden yang sering berlaku dan sekiranya langkah awal tidak diambil, ia boleh menyebabkan kematian.

"Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, St John Ambulans dan pengusaha gelanggang badminton komersil akan mula menjalin kerjasama untuk melatih petugas atau pekerja di gelanggang badminton tentang asas bantuan awal kecemasan khususnya Resusitasi Kardiopulmonari (CPR).

"Latihan ini akan dikendalikan St John Ambulans negeri dan peserta bengkel akan diberi sijil pengiktirafan yang mengesahkan mereka mampu atau layak memberi bantuan awal kecemasan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan dengan lapan pengusaha gelanggang badminton komersil di negeri ini dan turut dihadiri Pemangku Pengarah MSN Melaka Zulkifly Tamby Omar, Pegawai Turus Negeri ke-10 St John Ambulans Melaka Soh Thiam Seng.

Kerk berkata selain itu, penguasaha gelanggang badminton berkenaan juga turut digalakkan menyediakan "Automated External Defibrillator" (AED) di premis berkenaan untuk digunakan ketika berhadapan insiden serangan jantung.

Beliau berkata insiatif berkenaan di jangka akan turut digalakkan dilaksanakan di gelanggang sukan lain seperti futsal, bola sepak dan tenis secara berperingkat.

"Serangan jantung perlu ditangani dengan segera dalam tempoh empat minit selepas fungsi jantung terhenti kerana sekiranya lewat ia akan menyebabkan kerosakan sel otak atau kematian," katanya. - BERNAMA