Bagaimanapun ironinya, bekas pemain beregu negara itu memenangi emas istimewa tersebut bersama India selepas mengecewakan negara kelahirannya sendiri, Malaysia.

Anak didik Kim Her, R. Satwik-P. Ashwini menjadi pencetus kemenangan 3-1 India selepas menghadiahkan mata pertama dengan mengejutkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-14, 15-21, 21-15 dalam acara beregu campuran.

Ketika disapa mengapa dia mengecewakan Malaysia, Kim Her berkata: “Jangan kata begitu, saya bekerja dengan mereka (India). Sebagai seorang jurulatih profesional, inilah tugas saya.”

Kim Her, 47, memulakan tugas jurulatih beregu India pada 2015, negara luar ketiga dibimbingnya selepas Korea Selatan pada 2005 dan England (2010).

Sekembalinya ke tanah air, dia bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan menghabiskan lima tahun setengah membimbing pemain pelapis, sebelum membantu Goh V Shem-Lim Khim Wah muncul juara Terbuka Malaysia 2013.

Sentuhan Kim Her yang pernah bergandingan bersama Yap Kim Hock ketika zamannya sebagai pemain juga membantu India mengejutkan gergasi badminton dunia, Indonesia 4-1 pada peringkat kumpulan dalam Piala Sudirman 2017 sebelum tewas di tangan China pada suku akhir.

Selepas meranapkan dominasi 12 tahun Malaysia dalam acara berpasukan campuran, Kim Her kini mengintai untuk mencari lebih banyak emas dalam saingan individu.

Selain Peng Soon-Liu Ying, kegagalan Datuk Lee Chong Wei mengutip mata dalam perseorangan lelaki selepas tumpas 17-21, 14-21 kepada K. Srikanth turut membawa kepada kekalahan mengejut Malaysia.

Beregu lelaki No. 1 negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong cuba menghidupkan peluang apabila menang 21-15, 22-20 ke atas Satwik Rankireddy-Chirag Chandrashekhar Shetty, namun impian Malaysia berkubur selepas Soniia Cheah tewas kepada pemain No. 12 dunia, Saina Nehwal 11-21, 21-19, 9-21.

“Selepas Chong Wei kalah, memang kami tahu peluang untuk kami menang itu terbuka luas,” jelas Kim Her.

R. Satwik-P. Ashwin
menjadi pencetus kemenangan 3-1 India selepas menghadiahkan mata pertama