Turut meneruskan kemaraan dalam peringkat empat terbaik di Stadium Tung Jang, Trang ialah perseorangan lelaki negara, Soo Teck Zhi.

Turun sebagai pilihan keempat, beregu profesional Malaysia, Nur Mohd. Azryn Ayub-Jagdish Singh berjaya memenuhi reputasinya selepas menyingkirkan satu lagi pasangan negara, Aaron Chia-Mohamad Syazmil Idham Zainal Abidin 12-21, 22-20, 21-11.

Kemenangan itu bakal me­nemukan mereka dengan beregu kebangsaan, Lee Jian Yi-Lim Zhen Ying yang mara selepas mengetepikan pasangan China, Tao Jianqi-Wang Sijie 21-16, 17-21, 21-19.

Terdahulu, Teck Zhi meneruskan rentak cemerlang pabila me­numpaskan pencabar dari Jepun, Kodai Naraoka 21-14 21-19 untuk menempah pertemuan dengan pemain tuan rumah yang juga pilihan kelima, Pannawit Thongnuam.

Thongnuam mara selepas menumpaskan Subhankar Dey dari India 21-19, 21-1

Sementara itu, harapan tinggi yang diletakkan kepada beregu campuran tidak kesampaian selepas pilihan keempat kejohanan, Pang Ron-Yen Wei tewas 19-21, 13-21 kepada pasangan Indonesia, Danny Bawa Christinata-Crystal Wong.

Pang Ron yang juga adik kepada beregu wanita negara, Vivian Hoo mengakui, kecederaan buku lali yang dialami belum pulih sekali gus menjejaskan persembahannya dalam kejohanan itu.

“Memang kami sasar untuk sekurang-kurangnya sampai ke separuh akhir tetapi saya sedang dalam proses pemulihan kecede­raan buku lali.

“Selepas ini saya perlu lebih fokus semasa latihan dan beri tumpuan kepada proses pemulihan kecederaan,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Kempen perseorangan wanita, S. Kisona juga berakhir selepas ditunjukkan jalan keluar oleh Asuka Takahashi dari Jepun 21-11, 21-18.