Begitupun, dengan mula me­lakukan pendekatan berani membawa ramai muka baharu, selain memiliki beberapa pemain muda dalam senarai ‘wajib’ dikete­ngahkan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) percaya, skuad negara akan tampil jauh berbeza empat tahun dari sekarang.

Polisi ‘menyimpan pemain muda’ dan memberi peluang kepada orang lama tidak akan  menjadi amalan lagi di BAM.

Itu bermakna, peminat badminton Malaysia boleh menjangkakan set pemain baharu yang diketuai Lee Zii Jia dan bukan lagi Datuk Lee Chong Wei bakal menggalas cabaran negara selepas ini.

“Kami datang ke sini (Bangkok) dengan sasaran separuh akhir, namun kalah di suku akhir. Balik nanti kami akan mengkaji semula program yang ada.

“Kami sudah ada perancangan untuk pemain bawah 21 tahun. Hendak menang Piala Thomas dua tahun dari sekarang mustahil, jadi kami sasar empat tahun lagi.

“Beberapa pemain muda yang dibawa ke sini, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Aaron Chiah dan Teo Ee Yi menunjukkan prestasi baik, dan kami ada beberapa lagi pemain muda yang boleh diketengahkan.

“Saya tidak kata, BAM boleh bagi jaminan Piala Thomas mampu dimenangi empat tahun dari sekarang, negara kuat seperti China dan Jepun pun tidak mungkin dapat beri jaminan, tetapi kami akan bekerja keras ke arah itu,”  kata pengurus skuad Piala Thomas negara, Datuk Ng Chin Chai.

Chin Chai yang juga Setiausaha Agung BAM percaya, Malaysia banyak belajar daripada Indonesia yang telah melakukan perancangan dengan baik apabila mengetengahkan pemain muda mereka lebih awal.

Selain Zii Jia dan juara remaja Asia, Jun Hao, ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek sebelum ini turut menamatkan pemain sepert Cheam Jun Wei dan Tan Jin Wei antara yang bakal mewarnai badminton Malaysia dua tahun dari sekarang.

Kegagalan membawa pulang Piala Thomas kali ini bermakna, penantian 26 tahun Malaysia kini berpanjangan. – MINGGUAN