Selain masalah kecederaan yang dialami barisan pemain utama negara termasuk Woon Khe Wei, barisan gandingan simpanan juga semakin menunjukkan peningkatan ketara sehingga memaksanya mencari alternatif lain bagi memilih barisan pemain terbaik.

“Dari sudut positif, ramai pemain muda mula menunjukkan peningkatan ketara dan seperti yang saya katakan, memang sukar untuk saya memilih pemain ke Piala Uber.

“Saya rasa pemilihan untuk Piala Uber adalah berdasarkan taktikal yang akan digunakan di Bangkok nanti.

“Setakat ini, Khe Wei hampir pasti tidak akan menyertai kami, jadi akan ada sedikit campuran pemain dalam pemilihan kali ini,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, di sini baru-baru ini.

Skuad Piala Uber negara diundi di dalam Kumpulan D bersama jaura bertahan China, Indonesia dan Perancis.

Ketiadaan Khe Wei menyaksikan Vivian Hoo berkemungkinan akan digandingkan bersama Chow Mei Kuan berdasarkan kepada persembahan cemerlang mereka semasa di Sukan Komanwel Gold Coast.

Terdapat kemungkinan juga gandingan baharu, Tee Jing Yi-Soong Fie Cho akan disenaraikan selain pemain serba boleh Goh Yea Ching akan di bawa ke Bangkok bagi membolehkan gandingan baharu dibentuk semasa pertandingan.

Bagaimanapun, senarai penuh pemain yang akan beraksi di Piala Thomas/Uber akan diumumkan semasa Mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Khamis ini.