Perkara itu disuarakan bekas pemain kebangsaan, Roslin Hashim yang turut mempertikaikan matlamat sebenar kedua-dua pihak itu yang dilihat begitu ‘bersungguh-sungguh’ ingin membantu pasangan itu sedangkan mereka bukan lagi di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Katanya, selepas meninggalkan BAM, mereka sama se­perti pemain-pemain bebas lain dan perlu menentukan hala tuju sendiri termasuk mencari penajaan, jurulatih, pasangan berlatih serta mengatur jadual pertandingan.

“Saya melihat perkara ini sangat tidak adil buat pemain-pemain lain yang sudah keluar daripada BAM. Apa motif sebenar KBS dan MSN bersungguh-sungguh sangat nak bantu dua pasangan ini sedangkan mereka tidak pernah kisah tentang pemain bebas lain.

“Dulu waktu saya keluar BAM, saya kena bayar pampasan dan tiada sesiapapun ingin bantu. Jadi saya tidak faham kenapa mereka ini sahaja yang perlu dibantu. Tengok Iskandar (Zulkarnain Zainuddin) sampai hari ini terkontang-kanting lagi, sebab tiada siapa ingin berikan bantuan.

“Kenapa tidak beri bantuan sama kepada pemain lain? Nak kata mereka ada potensi menang pingat di Sukan Olimpik? Adakah pemain lain tiada potensi? Bagi saya perkara ini sangat tidak adil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, KBS akan tetap memberikan bantuan kepada Peng Soon-Liu Ying untuk ke Tokyo 2020 meskipun mereka tidak lagi bersama BAM, manakala MSN juga memberi janji sama meskipun mereka bukan sandaran terbaik memburu pingat.

Roslin menegaskan, badminton bukan sekadar layak ke Sukan Olimpik kerana ada lagi kejohanan lain yang perlu diambil kira.