Sylvia Ng mendahului senarai itu dengan memenangi acara perseorangan dan beregu wanita (berpasangan dengan Rosalind Singha Ang) serta berpasukan wanita.

Dia dan Rosalind memastikan pencapaian satu-dua dalam perseorangan untuk meninggalkan hanya gangsa sebagai sagu hati mereka kepada pemain Thailand, Thongkam Kingmanee.

Dalam acara beregu pula, mereka menghampakan Thongkam yang kemudian bergandingan dengan Patama Sirisriro dalam perlawanan akhir malah menundukkan negara itu bagi emas berpasukan.

Namun Thailand menebus kegagalan itu dengan menguasai pula podium emas dan perak menerusi beregu campuran yang memaksa mendiang Datuk Punch Gunalan dan Sylvia berpuas hati dengan sebutir gangsa.

Di gelanggang tenis, emas bersejarah Malaysia dihadiahkan oleh beregu wanita, Radhika Menon dan Julie Lim Kheow Suan yang turut menumpaskan pasangan Thailand, Sida Schmidt dan Chalathip Pinthanon.

Inilah satu-satunya emas tenis yang mampu diraih Malaysia dalam sejarah Sukan SEAP/SEA sehingga hari ini.

Radhika yang ketika itu baru berusia 20 tahun, terdahulu pernah menimba pengalaman beraksi dalam Kejohanan Terbuka Remaja Wimbledon 1970 selain bergelar Olahragawati Kebangsaan tahun itu.

Meja pingpong pula menyaksikan Tan Sok Hong muncul juara baharu perseorangan wanita.

Dia merampas emasnya daripada penyandang, Bopha Rattanak dari Khmer (Kemboja) yang kali ini sekadar beroleh gangsa selain menewaskan pemenang perak, Tan Soe Cheng juga rakan senegara lawan.

Sok Hong turut berkongsi gangsa beregu campuran dengan juara perseorangan lelaki, Peong Tah Seng.