Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, undangan tersebut dikemukakan oleh wilayah Ehime di Pulau Shikoku sebagai menghargai kerjasama yang pernah dijalinkan de­ngan badan badminton negara itu.

Mohamad Norza dan delegasi BAM telah mengadakan lawatan tiga hari di Ehime bermula Isnin lalu selepas menerima undangan daripada pihak berkuasa wilayah itu.

Katanya, sepanjang lawatan tersebut BAM dapat melihat kemudahan latihan yang disediakan untuk pemain, selain berpeluang bertemu datuk bandar serta gabenor wilayah berkenaan.

Sekiranya bersetuju untuk menerima tawaran tersebut, pemain negara boleh memulakan latihan di Ehime tahun depan hingga bermulanya Sukan O­limpik Tokyo 2020.

“Menerusi undangan ini, pemain Malaysia yang akan beraksi dalam Tokyo 2020 berpeluang menjalani latihan di sana untuk membolehkan mereka menyesuaikan diri sebelum beraksi.

“Secara keseluruhan, BAM berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan mereka, namun belum ada sebarang kata putus diberikan mengenai perkara itu.

“Perbincangan lanjut akan dijalankan bagi melihat terma dan syarat yang ditetapkan mereka sebelum kami menandatangani sebarang perjanjian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Skuad badminton negara memenangi tiga pingat perak ketika Sukan Olimpik 2016 di Rio menerusi jaguh perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.