Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan, hari ini.

Soon Huat-Shevon telah membuktikan kemampuan mereka pada musim lalu termasuk menewaskan Kian Meng-Pei Jing dua kali berturut-turut dalam kejohanan Malaysia Masters dan Indonesia Masters bulan lalu.

Kata Mohamad Norza, BAM juga memutuskan Chow Mei Kuan bakal menggantikan Woon Khe Wei ke Sukan Komanwel selepas pemain berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan ketika beraksi dalam kejohanan Berpasukan Asia baru-baru ini.

Tambah Mohamad Norza, keputusan tersebut dibuat bagi memperkuatkan pasukan menghadapi temasya di Gold Coast, Australia pada April ini.

“Kami telah membuat beberapa keputusan termasuk melakukan perubahan terhadap skuad negara yang akan menggalas misi pada Sukan Komanwel nanti.

“BAM mengambil keputusan untuk menggugurkan Kian Meng-Pei Jing bagi acara beregu campuran dan tempat mereka akan digantikan oleh Soon Huat-Shevon,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini hari ini.

Selain perubahan dalam kalangan pemain, Mohamad Norza turut mengesahkan bahawa jurulatih beregu lelaki, Rosman Razak akan mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih beregu wanita.

Dalam masa sama BAM juga sedang mengenal pasti calon sesuai bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Rosman.

“Perkara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat hari ini termasuk akan membuat tawaran kepada bekas pemain beregu lelaki No.1 dunia, Tan Boon Heong untuk kembali ke pangkuan BAM bagi memperkuatkan skuad lelaki ke Piala Thomas di Bangkok, Thailand Mei ini.

“Kita mahu mempersiapkan sebuah pasukan yang mampu memberi cabaran sengit di sana nanti.

“Bagi saya, beregu utama kita, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tidak ada sebarang masalah tetapi masih ada kebimbangan terhadap beregu kedua (Teo Ee Yi-Ong Yew Sin) dan saya serahkan kepada Cheah Soon Kit (ketua jurulatih beregu lelaki) untuk buat keputusan,” kata Mohamad Norza.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata, tempat Datuk Lee Chong Wei serta Lee Zii Jia sudah terjamin dalam skuad Piala Thomas, sementara Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven dan Leong Jun Hao perlu bersaing bagi me­rebut tempat selaku perseora­ngan ketiga.