Mohamed Al Amin

Mohamed Al-Amin juga berkata, secara keseluruhan skuad negara telah mempamerkan prestasi memuaskan dalam kejohanan badminton tertua di dunia itu yang berlangsung di Birmingham, tetapi mengakui beliau bimbang dengan prestasi beregu lelaki utama negara.

“Ini adalah prestasi terbaik yang dipamerkan oleh Peng Soon-Liu Ying selepas merangkul pingat pe­rak Sukan Olimpik Rio tahun lepas.

“Bagi saya, berjaya mara ke peringkat akhir merupakan satu kejayaan besar biarpun mereka tidak bernasib baik dalam aksi yang berlangsung agak sengit,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menjadi beregu campuran pertama negara mara ke final All England selepas 62 tahun. Hajat mereka untuk mencipta sejarah lebih baik bagaimanapun disekat oleh Lu Kai-Huang Yaqiong dari China yang menang 21-18, 19-21, 16-21 dalam tempoh satu jam, 26 minit.

Tidak menolak jaguh negara Datuk Lee Chong Wei berada dalam kelas tersendiri selepas menundukkan pemain muda dari China, Shi Yuqi 21-12, 21-10 di final All England, Mohamed Al-Amin bagaimanapun melahirkan rasa bimbang terhadap prestasi terkini Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

“Mereka turun selaku pilihan utama kejohanan, namun sampai ke suku akhir sahaja. Saya akan minta jurulatih mereka agar memberi perhatian kepada isu seperti ini.

“Turun sebagai pilihan pertama mungkin ada kalanya memberikan tekanan dan menjejaskan permainan mereka dalam mana-mana kejohanan besar,” katanya.

Pemenang perak Olimpik Rio, V Shem-Wee Kiong tersungkur di suku akhir All England apabila tewas kepada gandingan China, Li Junhui-Liu Yuchen 19-21, 21-17, 19-21.