Bagaima­napun keputusan pertemuan tersebut hanya akan diumumkan selepas ke­dua-duanya bertemu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam masa terdekat.

Apa yang pasti, pertemuan hampir sejam itu berjaya menyelesaikan segala kemelut dan disifatkan positif serta dicapai demi kepentingan badminton tanah air.

“Selepas mengadakan pertemuan empat mata hari ini, kami berjaya mencapai satu persefahaman.

“Ya, isu Presiden BAM sudah selesai dan keputusan telah dicapai. Cuma, saya tidak dapat dedahkan apa keputusan pertemuan kerana perlu memaklumkannya terlebih dahulu kepada Menteri Belia dan Sukan.

“Jangan salah faham, bukan menteri yang akan membuat keputusan atau mengumumkan mengenai perkara ini, cuma kami mahu memaklumkan kepadanya sebagai menghormati beliau.

“Sebelum ini, menteri telah bertemu saya dan Datuk Seri Norza untuk mencadangkan beberapa jalan penyelesaian yang mungkin boleh diambil, jadi saya fikir adalah lebih baik hasil pertemuan ini kami maklumkan kepada beliau dahulu sebelum mendedahkannya kepada media,” kata Mohamed Al Amin kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Ketika ditanya bilakah pertemuan dengan Khairy akan diadakan, Mohamed Al Amin berkata, beliau berharap akan berlangsung secepat mungkin dan cuba mencari masa yang sesuai esok.

“Kalau boleh esok juga saya dan Datuk Seri Norza mahu berjumpa menteri, namun itu bergantung kepada kelapangan beliau.

“Sebolehnya kami mahu menyelesaikan perkara ini secepat mungkin untuk membolehkan fokus kembali terarah kepada persatuan dan badminton, selain memastikan perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 29 April ini lancar,” ujarnya lagi yang enggan mendedahkan butiran pertemuan dengan Mohamed Norza.

Kemelut pucuk kepemimpinan BAM timbul selepas wujudnya gentlemen’s agreement dalam kalangan pemimpin kanan BAM mengenai siapa yang bakal menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang berehat daripada memegang jawatan itu sejak Oktober 2015.

Perjanjian tersebut dikatakan telah dipersetujui bersama oleh Tengku Mahaleel, Mohamad Norza serta ‘orang atas’ di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang mana perubahan pu­cuk pimpinan BAM akan di­buat selepas tamat Sukan ­Olimpik 2016 atau ber­akhirnya penggal jawatankuasa sedia ada tahun ini.

Sementara itu, Mohamed Norza ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, pertemuan dengan Mohamed Al Amin berlangsung dengan baik, namun butiran dan keputusannya tidak akan dibawa kepada pengetahuan ahli majlis.

“Pertemuan berlangsung de­ngan baik dan penyelesaian terhadap isu ini sudah ada tetapi kami akan membawanya untuk pengetahuan menteri terlebih dahulu sebelum pengumuman rasmi dibuat.

“Perkara ini hanya akan dibawa kepada menteri dan tidak dibawa ke mesyuarat Exco...selepas itu semua persoalan akan terjawab,” katanya.