Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemilihan barisan kejurulatihan baharu termasuk dalam kalangan bekas pemain hanya akan dibuat berdasarkan kepada cadangan daripada Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen serta pandangan ketua-ketua jurulatih.

Katanya, pihak pengurusan BAM tidak akan mencampuri urusan pemilihan jurulatih dan menyerahkan perkara itu untuk diteliti bahagian teknikal sebelum dibawa ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) serta mesyuarat Ahli Majlis untuk persetujuan.

Beliau memberitahu, atas dasar itu juga BAM memutuskan untuk mengadakan pemisahan di antara bahagian pengurusan dan teknikal bagi memastikan tidak berlaku sebarang pertindihan dalam sesuatu urusan.

“Selaku Presiden BAM, memang saya bersetuju dengan pandangan Misbun dalam isu ini kerana sangat penting untuk mereka memiliki pengalaman dalam bidang kejurulatihan bagi memudahkan urusan.

“Bagi kami di peringkat peng­urusan, cadangan akan dibuat oleh bahagian teknikal seperti Morten serta barisan kejurulatihan dan selepas ini kami juga akan mendapatkan pandangan daripada Misbun sendiri.

“Bahagian teknikal serta jurulatih lebih memahami bidang ini dan mereka akan membuat pe­­n­i­­laian terperinci sebelum cadangan dikemukakan kepada kami untuk persetujuan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan Misbun meminta supaya BAM membuat penilaian semula terhadap tawaran menjadi jurulatih skuad senior kepada beberapa bekas pemain kebangsaan.

Katanya, mereka yang hendak ditawarkan jawatan jurulatih pemain senior sepatutnya sudah terdedah kepada kejurulatihan peringkat akar umbi seperti di sekolah sukan untuk menimba pe­ngalaman dan kemahiran.