Chong Wei, juara pada 2007, 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2016, sememangnya meletakkan Terbuka Indonesia sebagai antara sasaran utamanya pada tahun ini bagi menjadi pemain luar pertama mencatat kemenangan terbanyak mengatasi dua legenda negara itu tetapi hasrat itu gagal direalisasikan.

Bintang No. 1 Malaysia itu turun selaku pilihan utama kejohanan tetapi gagal mengelak daripada menjadi mangsa kejutan terbaharu selepas Lin Dan, Carolina Marin serta beregu wanita No.1 dunia Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi dan beregu lelaki No. 1 dunia dari Indonesia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Suka­muljo yang semuanya tersingkir seawal pusingan pertama.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu tewas kepada pemain pusingan kelayakan HS Prannoy 10-21, 18-21 dalam perlawanan selama 42 minit.

Kekalahan itu merupakan yang pertama buat Chong Wei dalam tiga pertemuan dengan pemain dari India itu selepas kali terakhir bertemu dalam Siri Super Premier Terbuka Denmark tahun lalu.

Jurulatih perseorangan negara Hendrawan mengakui Pron­noy menampilkan aksi luar biasa terutama dari segi kepantasan permainan sejak dari awal set pertama untuk mengatasi Chong Wei.

Katanya, Chong Wei kelihatan lebih perlahan hari ini berbanding dalam perlawanan sebelum ini dan nyata dia tidak mampu mengatasi kepantasan yang ditampilkan lawannya itu.

“Chong Wei hari ini sangat perlahan membuatkan lawannya mengawal keseluruhan permainannya. Kekurangan dari segi kelajuan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Prannoy kerana Chong Wei tidak mampu untuk melakukan serangan.

“Bagaimanapun, kita perlu terima kekalahan ini dan sentiasa berfikiran positif selain meneruskan persediaan untuk ke Kejohanan Dunia di Glasgow,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selepas ini Chong Wei akan menyertai Siri Super Terbuka Australia minggu hadapan sebelum melakukan persiapan rapi untuk meneruskan misi meraih kejuaraan dunia pertama Ogos ini.