Walau bagaimanapun, ‘pintu belakang’ menjadi penyelamat kepada mereka untuk tetap beraksi dalam kejohanan berprestij itu di Bangkok Mei ini menggunakan tiket ranking dunia dan Asia.

Malaysia, yang perlu layak ke separuh akhir Kejohanan Berpa­sukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim untuk menempah tempat dalam Piala Uber, gagal mencapai sasaran itu selepas tunduk 0-3 kepada Korea Selatan dalam peringkat lapan terbaik hari ini.

Namun, skuad negara masih mampu mendapatkan slot Piala Uber kerana kedudukannya di tempat kesembilan ranking dunia dan kelapan dalam kalangan negara Asia sekali gus layak mengisi slot pasukan yang berada di ran­king tiga tertinggi dunia.

Ketua jurulatih perseora­ngan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock mengesahkan perkara itu namun tetap kecewa kerana skuad wanita negara gagal me­layakkan diri secara merit seperti yang disasarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dia juga sangat kecewa dengan prestasi yang ditampilkan barisan pemain perseorangan negara sewaktu menentang Korea Selatan dan menyifatkan permainan mereka tidak mencapai standard yang diinginkan.

Ini membuatkan Seu Bock mengeluarkan amaran kepada anak-anak buahnya bahawa kedudukan mereka di dalam skuad ketika ini masih belum selamat dan peluang masih terbuka untuk semua pemain merebut tempat untuk aksi di Bangkok nanti.

“Memang kita sudah layak berdasarkan kepada kedudukan ranking tetapi saya memang kecewa kerana tidak layak secara merit. Saya juga tidak menjangkakan permainan pemain perseorangan tidak mencapai tahap yang saya inginkan.

“Boleh saya katakan, kedudukan mereka masih belum selamat ketika ini dan pada waktu ini saya memiliki lapan pemain perseorangan dan semuanya masih berpeluang untuk disenaraikan ke Bangkok tetapi perlu menunjukkan keputusan positif selain disiplin serta komitmen tinggi dalam tempoh tiga bulan ini.

“Ada sesetengah pemain juga perlu menunjukkan semangat berpasukan kerana ini merupakan kejohanan berpasukan, dan saya berharap keadaan ini akan menjadi lebih baik menjelang Mei,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.

Perseorangan pertama negara Soniia Cheah sekali lagi gagal menghadiahkan mata penting buat negara selepas mudah dijinakkan Sung Ji-hyun 13-21, 10-21 dalam tempoh 37 minit.

Beregu Vivian Hoo-Tee Jing Yi juga gagal memberi tentangan kuat apabila tumpas 10-21, 15-21 kepada Lee So-hee-Shin Heung-chan dalam perlawanan yang memakan masa 35 minit.

Harapan untuk menyaksikan Goh Jin Wei menghidupkan kembali cabaran Malaysia juga tidak kesampaian apabila dia tewas 21-17, 11-21, 13-21 kepada Lee Jang-mi.