Biarpun tidak banyak harapan diletakkan di bahu perseorangan lelaki, terutama selepas ketiadaan jaguh No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei, namun ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Misbun Sidek optimis pemain yang dihantar kali ini mampu pulang bersama kejutan.

“Semua pemain sedar mereka pergi ke Sukan Asia dengan menggalas tanggungjawab besar. Mereka menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang latihan, biarpun latihan yang diberikan agak keras.

“Sesi latihan dimulakan se­awal pukul 6 pagi setiap hari, namun mereka boleh bertahan dengan bebanan dan tekanan yang diberi.

“Kalau mereka boleh tunjuk komitmen seperti ini ketika latihan, saya percaya mereka boleh hadapi perlawanan dengan baik,” kata Misbun.

Liew Daren, 31, yang menunjukkan prestasi baik dalam Kejohanan Dunia, awal bulan lalu apabila melangkah ke separuh akhir merupakan perseorangan paling berpengalaman dibawa Malaysia pada edisi ke-18 temasya.

Dia akan diiringi tiga muka baharu - Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven, yang akan bersaing dalam acara individu serta berpasukan.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu campuran, Pang Cheh Chang menaruh harapan terhadap pemenang pingat pe­rak Sukan Olimpik, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai untuk menghadirkan pingat.

Berdasarkan prestasi semasa, kedua-dua pasangan itu menampilkan aksi meyakinkan de­ngan berjaya meraih kejuaraan dalam beberapa siri kejohanan yang disertai sebelum ini.

“Fokus saya ialah mengembalikan prestasi terbaik mereka terutama untuk kejohanan besar termasuk Sukan Asia.

“Paling penting sekarang ini ialah membantu mereka untuk mengawal mental sebaik mungkin kerana ia akan menjadi penentu terutama dalam per­lawanan-perlawanan penting,” katanya.