Biarpun sudah pulih daripada kanser hidung dan dijangka membuat penampilan semula dalam Terbuka Malaysia, April ini, namun pemenang tiga pingat perak Olimpik itu mengakui, laluannya untuk layak ke temasya di Tokyo cukup berliku.

Menjelang aksi kelayakan yang akan bermula Mei ini, Chong Wei berada di ranking ke-30 dunia, ketinggalan di belakang Zii Jia (28) dan Daren (29).

Berdasarkan peraturan ditetapkan, hanya dua wakil dari setiap negara dibenarkan beraksi dalam temasya sukan terbesar dunia itu sekiranya mereka berada dalam kelompok 16 pemain terbaik selepas tamat aksi kelayakan pada penghujung April 2020.

“Kalau saya tidak layak pun tidak apa kerana sudah empat kali beraksi. Zii Jia dan Daren tidak pernah bermain dalam Sukan Olimpik dan saya percaya mereka juga mahu ke sana, jadi saya melihat semua ada peluang untuk layak.

“Bagaimanapun, jangan tutup peluang saya untuk ke sana kerana sasaran saya adalah mahu beraksi dalam Sukan Olimpik buat kali kelima dan apa saja boleh berlaku,” kata Chong Wei selepas menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Menurut Chong Wei, dalam badminton tiada yang mustahil boleh berlaku seperti di temasya Rio 2016 apabila badminton menghadiahkan dua butir pingat perak yang tidak diduga menerusi beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

“Semasa Rio 2016, semua mengharapkan saya memenangi pingat tetapi Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga berjaya meraih pingat perak.

“Paling penting sekarang semua pemain perlu fokus untuk layak ke Sukan Olimpik dahulu dengan meraih keputusan baik dalam setiap kejohanan yang disertai,” katanya lagi.

Chong Wei, 37, yang kali terakhir membuat penampilan kompetitif pada Terbuka Indonesia, Julai lalu berkata, dia akan kembali ke Terbuka Malaysia, April ini jika mendapat kebenaran doktor.

Katanya, dia akan kembali semula ke Taiwan bagi membuat pemeriksaan susulan mengenai status kesihatannya sebelum memutuskan untuk beraksi di Terbuka Malaysia.