Iskandar Zulkarnain Zainuddin bakal memainkan peranan sebagai pemain perseorangan ketiga bersama-sama Soong Joo Ven.

Kejohanan itu juga adalah pusingan kelayakan Piala Thomas dan bekas ketua jurulatih kebangsaan Rashid Sidek berkata, barisan pemain yang dipilih badan induk sukan badminton kebangsaan itu sudah dijangka kerana pemain yang disenaraikan adalah yang dimiliki negara ketika ini.

Katanya, berdasarkan kepada pemilihan pemain yang dibuat itu, tumpuan sudah pasti ter­arah kepada perseorangan ketiga yang akan diisi oleh Iskandar Zulkarnain Zainuddin atau Soong Joo Ven kerana mereka mungkin menjadi penentu kepada keputusan dalam perlawanan penting.

“Barisan pemain ini memang sudah dijangka, pada mulanya saya terfikir sama ada mereka akan pilih (Leong) Jun Hao (juara remaja Asia) atau Joo Ven dan akhirnya mereka pilih Joo Ven.

“Bagi saya ini merupakan pertaruhan besar tetapi tidak me­ngapa kerana ini adalah pemain terbaik yang kita ada buat masa sekarang, kalau ambil pemain luar sekali pun (profesional), prestasi mereka lebih kurang sama sahaja.

“Saya melihat, perseorangan ketiga akan menjadi watak pen­ting dalam cabaran kali ini, jadi percaturan BAM perlu tepat untuk mendapatkan mata,” katanya ketika dihubungi.

Dalam aksi kelayakan kali ini, BAM mengambil keputusan untuk tidak menyenaraikan pemain profesional sebaliknya meletakkan kepercayaan penuh terhadap pemain naungan mereka.

Aksi di Alor Setar bulan hadapan menyaksikan jaguh negara Datuk Lee Chong Wei diberi tanggungjawab untuk mengetuai cabaran perseorangan bersama Lii Zii Jia, Iskandar dan Joo Ven manakala Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan menggalas misi buat pasukan beregu lelaki.

Malaysia yang menduduki tempat ketujuh dalam ranking dunia perlu mencapai sasaran layak ke separuh akhir di Kedah bagi mendapatkan slot automatik ke pusingan akhir Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok pada 20 hingga 27 Mei.