Kali terakhir Malaysia dikalungkan emas acara perseorangan wanita ialah semasa Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam oleh Datin Wong Mew Choo.

Soniia selaku pilihan keempat menumpaskan pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung, 22-20 dan 21-13, manakala Jin Wei mengatasi Pornpawee Chochuwong dari Thailand, 21-9, 10-21 dan 21-18 dalam aksi yang mendebarkan lebih 2,000 penonton yang datang ke Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Jin Wei berkata, dia sangat tertekan akibat tentangan yang diberikan oleh Pornpawee, namun bangkit mengatasi lawannya kerana ingin benar beraksi dalam pentas akhir di tanah air sendiri.

“Sangat tertekan semasa ketinggalan dalam perlawanan set ketiga, lebih-lebih lagi selepas mengetahui Soniia berjaya mara ke akhir. Oleh itu saya berusaha bangkit dan berpuas hati kerana turut sama mara ke akhir,” katanya.

Malaysia juga berpotensi mendapatkan dua lagi emas selepas beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut mara ke perlawanan akhir yang akan bermula pukul 1 petang esok.