Katanya, dia juga sedia menggalas tanggungjawab terhadap pilihan pemain yang dibuat selain berkeyakinan mereka mampu menjadi sandaran untuk meraih keputusan positif dalam aksi dwitahunan itu.

Datuk Lee Chong Wei merupakan pemain yang akan mengetuai cabaran negara di Thailand bersama Lee Zii Jia selaku perseorangan kedua selain Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan juara remaja asia 2017, Leong Jun Hao.

Legenda badminton negara itu memberitahu, Chong Wei merupakan pemain yang berada di dalam kelasnya tersendiri dan dia mampu memberikan panduan kepada pemain-pemain lain selain bertanggungjawab untuk meraih mata pertama negara dalam menaikkan moral pasukan.

“Untuk perseorangan kedua, kami ada Zii Jia. Saya menyimpan dia untuk memastikan mencapai kemuncak prestasi pada Piala Thomas nanti, dia masih muda dan mampu mengatasi tekanan semasa berada di dalam gelanggang.

“Iskandar merupakan pemain yang sudah ada pengalaman, dia ada karater tersendiri selain mempunyai daya kepimpinan, dia akan menjadi abang kepada dua lagi pemain muda di dalam pasukan ini.

“Jun Hao adalah pemain muda yang sedang digilap, buat masa sekarang mindanya masih belum dicemari sebarang unsur-unsur kurang baik, jadi saya mahu membentuknya sebaik mungkin untuk masa akan datang,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Misbun enggan mengulas mengenai peluang Malaysia meraih kemenangan ke atas Denmark dalam aksi terakhir peringkat kumpulan sebaliknya mahu pemain memberi tumpuan sepenuhnya semasa aksi sebenar.

“Jika dilihat, kita adalah pasukan bukan pilihan dan keputusan hanya akan diketahui pada hari sebenar. Apabila pemain bermain dengan baik, keputusan itu akan hadir,” katanya.

Skuad Piala Thomas negara diundi di dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, Denmark, Algeria dan Rusia.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menetapkan sasaran untuk sekurang-kurangnya layak ke saingan separuh akhir.