Pengarah Kejurulatihan Per­satuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu me­nunjukkan perkembangan sa­ngat baik.

Dia bagaimanapun memerlukan nasihat doktor sebelum membuat keputusan untuk ber­aksi atau sebaliknya.

Keputusan hanya boleh diketahui minggu depan selepas dia bertemu doktor yang me­rawatnya di Taiwan.

Kata Choong Hann, Chong Wei menjalani latihan fizikal secara konsisten dengan intensiti yang semakin bertambah selain mula turun ke gelanggang untuk berlatih.

“Sudah pasti namanya masih ada, cuma dia perlukan ‘lampu hijau’ daripada doktor sebelum membuat keputusan.

“Hendarawan memberitahu kami bahawa perkembangan Chong Wei semakin baik cuma kami tidak mahu terlalu tergesa-gesa meminta dia kembali.

“Kami akan berbincang de­ngan jurulatih dan doktor bagi mengetahui keadaan fizikal semasanya.

“Jika dia sudah bersedia, kami akan maklumkan,” kata­nya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.

Semalam, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria meminta peminat untuk tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menyaksikan Chong Wei beraksi dalam kejohanan Siri Jelajah Dunia Super 750 bernilai AS$700,000 (RM2.86 juta) bermula 2-7 April ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Beliau memberitahu, jaguh negara berusia 37 tahun itu akan berangkat ke Taiwan, Ahad ini bagi berjumpa doktor yang me­rawatnya sebelum membuatkan keputusan sama ada akan beraksi atau tidak.

Sementara itu, Choong Hann memberitahu, beliau juga tidak pasti sama ada Chong Wei boleh beraksi secara kompetitif atau sebaliknya kerana ia hanya boleh diketahui selepas jaguh negara itu beraksi dalam kejohanan.

“Kita akan memantau dan sesuaikan dengan keadaan tetapi kita bukan bercakap mengenai kemahiran atau taktikal.

“Buat masa sekarang fokus adalah keadaan fizikal serta ketahanan di dalam gelanggang kerana itu perkara paling utama buat Chong Wei dan dia sedang bekerja keras untuk kembali beraksi semula,” katanya.