Ahli Majlis BAM, Jadadish Chandra memberitahu, pihaknya akan mengemukakan peraturan baharu itu kepada badan induk sukan badminton untuk diguna pakai di peringkat kebangsaan.

Katanya, peruntukan undang-undang untuk kesalahan mengatur perlawanan itu sangat pen­ting kerana ia melibatkan jumlah wang yang besar selain akan menjejaskan sukan badminton pada masa akan datang.

Beliau memberitahu, peraturan baharu yang akan diperkenalkan itu akan merangkumi proses undang-undang yang sama di peringkat antarabangsa termasuk pendengaran kes, pembelaan serta hukuman.

“BWF (Persekutuan Badminton Dunia) memiliki peraturan ini di peringkat antarabangsa, jadi kami akan mengemukakan cadangan ini untuk peringkat kebangsaan dan ia akan dinilai oleh Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin.

“Peraturan seperti ini perlu diwujudkan kerana kami tidak mahu apabila kes seperti ini berlaku dan kita tidak ada peraturan untuk mengatasi masalah tersebut.

“Pelbagai hukuman akan disediakan, bergantung kepada betapa serius kes berkenaan dan hukuman maksimum yang bakal dikenakan ialah penggantungan seumur hidup,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Sukan badminton dunia dikejutkan dengan insiden dua pemain Malaysia digantung sementara oleh BWF kerana disyaki terlibat dengan insiden mengatur perlawanan.

Kedua-dua pemain profesional berkenaan dikenakan enam pertuduhan mengatur perlawanan dalam satu sesi pendengaran bebas di Singapura, minggu lalu.

Mengulas mengenai insiden dihalang daripada memasuki sesi pendengaran kes itu, Jadadis memberitahu, keputusan untuk menghalangnya daripada memasuki sesi itu adalah tidak sah kerana ia melanggar peruntukan Perlembagaan BWF.

Katanya, kehadirannya ke dalam sesi itu bukan sebagai pemerhati kes, sebaliknya tampil selaku wakil BAM.

“Kehadiran saya di sana bukan sebagai pemerhati tetapi sebagai wakil BAM, jadi mereka tiada hak untuk menghalang saya daripada memasuki sesi itu kerana ia jelas mengikut Artikel 13.8.2.6 (Perlembagaan BWF).

“Bantahan juga sudah dikemukakan, perkara itu juga sudah berlangsung dan ini juga proses pertama mereka melibatkan kes seperti ini, jadi ia akan menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran pada masa akan datang,” katanya.