Dalam suku akhir di Axiata Arena, hari ini, Peng Soon-Liu Ying menang 22-20, 22-20 ke atas Goh Soon Huat Shevon Lai, manakala, Watanabe-Higashino menewaskan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 21-7, 21-13.

Liu Ying berkata, saingan suku akhir, hari ini, merupakan satu ‘perang psikologi’ kerana mereka berdepan lawan yang sudah mengetahui segala strategi permainan semasa di dalam gelanggang.

Dia mengakui sangat penat dari segi mental berbanding fizikal kerana mereka bergantung kepada lawan untuk melakukan kesilapan.

“Memang sangat susah sebab kami lawan kawan kami sendiri, mereka tahu cara kami dan kami tahu cara permainan mereka, jadi kami semua perlu bekerja lebih keras dalam perlawanan ini.

“Boleh dikatakan ini adalah ‘perang psikologi’, sebab kami lebih penat berfikir kerana kami hanya boleh tunggu lawan buat silap sahaja, jadi perasaan itu macam kami tunggu sesuatu tetapi tidak sampai-sampai. Perlawanan esok juga akan menjadi satu lagi ‘perang psikologi’ buat kami,” katanya.