Kos itu adalah bagi menampung perbelanjaan untuk menyertai kejohanan antarabangsa bagi mencari mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

Liu Ying berkata, dia bersama Peng Soon sedang berbincang dengan beberapa penaja yang berpotensi, namun, masih belum ada sebarang keputusan mengenainya terutama selepas mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk layak ke Sukan Olimpik, tetapi masalah paling besar yang kami hadapi sekarang ialah mencari penaja untuk menyertai kejohanan. Paling kurang, kami memerlukan RM200,000 seorang kerana kita bukan hanya menyertai kejohanan di Asia.

“Kami ada juga kejohanan di Eropah seperti di England, Denmark dan Jerman, yang mana memakan kos RM20,000 hingga RM30,000 seorang,” katanya kepada pemberita selepas membantu Puchong United BC menewaskan Kepong BC 11-8 pada saingan SS Purple League, malam tadi.

Liu Ying yang berganding bersama pemain import dari Hong Kong, Tang Chun Man menewaskan gandingan Mohd. Arif Abdul Latif-Cheah Yee See 3-1 (11-4, 8-11, 11-10, 11-4), sekali gus memastikan juara bertahan, Puchong United BC berada di kedudukan teratas carta.

Liu Ying berkata, mereka juga mengharapkan bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mendapatkan gelanggang latihan kerana ia keperluan utama buat masa sekarang.

“Buat masa ini, kami masih berlatih di BAM, tetapi selepas tamat tempoh notis bersama BAM (1 Januari 2019), kami tak tahu bagaimana kerana belum dapat apa-apa maklumat. Saya harap KBS boleh tolong dalam perkara ini,” katanya.

Pasangan yang menduduki ranking ke-13 dunia pada masa ini, akan memulakan musim 2019 dengan menyertai Thailand Masters bermula dari 8-13 Januari, diikuti Malaysia Masters (15-20 Januari) dan Indonesia Masters (22-27 Januari). – BERNAMA