Buat masa sekarang, mereka hanya menggunakan khidmat rakan-rakan yang bergerak secara bebas termasuk Lim Khim Wah, selain, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong semasa beraksi di Thailand Masters, minggu lalu.

Bagimanapun, dalam pusingan pertama Siri Jelajah Dunia 500 Malaysia Masters, hari ini, mereka mendapat tunjuk ajar daripada pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2002, Chew Choon Eng di tepi gelanggang sewaktu pertandingan.

Liu Ying berkata, mereka mahu segera menyelesaikan perkara berkaitan penajaan supaya tumpuan penuh boleh diberikan kepada kejohanan.

“Kalau boleh sebelum Mac kena selesaikan semua ini kerana tidak lama lagi kelayakan Olimpik akan bermula.

“Kalau ikutkan memang banyak jurulatih yang kami mahukan tetapi semuanya bergantung kepada bajet kami dan keutamaan akan diberikan kepada jurulatih tempatan,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena di sini, hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berjaya melangkah ke pusingan kedua selepas menang 21-13, 21-14 ke atas gandingan tidak ternama dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Turut ke pusingan kedua, beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen yang menang 12-21, 21-12, 21-18 ke atas pasangan Thailand, Chayanit Chaladchalam-Phataimas Muenwong dan mereka akan berdepan cabaran Yulfira Barkah-Jauza Fadhilah Sugiarto yang menundukkan Linda Efler-Isabela Hettrich 14-21, 21-9, 21-17.

Vivian memberitahu, mereka mahu melangkah sekurang-kurangnya ke suku akhir bagi membantu memperbaiki kedudukan ranking untuk membolehkan mereka menyertai kejohanan yang lebih besar selepas ini.

Katanya, sasaran awal selepas mereka digandingkan bersama adalah untuk berada dalam kelompok 32 pemain terbaik dunia dan kini sudah berada di kedudukan ke-33.

“Jadi, sasaran selepas ini adalah untuk berada dalam kelompok 16 terbaik bagi membolehkan kami ke kejohanan lebih besar,” ujarnya

Sementara itu, beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 8-21, 14-21 kepada pasangan bukan pilihan dari Jepun, Ayako Sakuramoto-Yukiko Takahata.