Peng Soon-Liu Ying yang turun sebagai pilihan keenam beregu campuran mara selepas menumpaskan pasangan tuan rumah, Akbar Bintang Cahyono-Winny Oktavina Kandow 21-19, 21-19 dalam kejohanan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu yang muncul juara pada Thailand Masters dan mara ke separuh akhir Malaysia Masters akan berdepan pemenang di antara pasangan England, Bane Lane-Jessica Pugh atau Lin Chia Yu-Hsu Ya Ching dari Taiwan pada pusingan kedua esok.

Turut meneruskan kemaraan dalam kejohanan bernilai AS$350,000 (RM1.448 juta) itu adalah satu lagi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang dipaksa bekerja keras sebelum mengetepikan pasangan Jerman, Marvin Emil Seidel-Linda Efler 18-21, 21-19, 21-12.

Cabaran bekas pemain kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin bagaimanapun berakhir awal apabila tumpas kepada perseorangan lelaki Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 17-21, 15-21 dalam pusingan terakhir kelayakan.

Turut tersingkir awal beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tumpas 12-21, 21-13, 18-21 kepada pasangan tuan rumah, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja. - UTUSAN ONLINE