Selepas enam bulan tidak bergandingan, Peng Soon mengakui ‘penyatuan semula’ itu adalah motivasi terbaik buat dirinya terutama bagi berdepan kejohanan-kejohanan utama tahun hadapan termasuk Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

“Berdasarkan kepada perancangan jurulatih, saya akan kembali bersaing bersama Liu Ying bermula di Malaysia Masters.

“Saya berharap Liu Ying tidak lagi berdepan masalah kecederaan dan saya berharap kami boleh kembali kepada prestasi terbaik seperti sebelum ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Tajaan dan Pengenalan Pemain Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya, di sini hari ini.

Selain Peng Soon, juara ramaja dunia 2015, Goh Jin Wei dan juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli bersama pemenang pingat emas Sukan Olimpik Beijing, Markis Kido akan menguatkan skuad KB Ampang Jaya dalam saingan Purple League edisi kali ini.

Peng Soon-Liu Ying yang pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 terpaksa dipisahkan selepas Liu Ying menjalani pembedahan bahu, Mei lalu.