Peng Soon-Liu Ying, bagaimanapun, terpaksa bekerja keras selama 57 minit sebelum menewaskan pasangan dari Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Tan Wei Han 13-21, 22-20, 21-18.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan berdepan beregu China, He Jiting-Du Yue bagi penentuan tempat ke suku akhir pada Khamis.

Nasib berbeza menimpa dua lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang terkandas seawal pusingan pertama.

Kian Meng-Pei Jing tunduk kepada pilihan pertama dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong 12-21, 21-14, 15-21. Sementara, Tang Jie-Yen Wei tewas kepada pasangan Hong Kong, Yeung Ming Nok-Ng Taz Yau 15-21, 17-21.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Cheam Jun Wei mempamerkan aksi cemerlang apabila mengungguli Kumpulan B dalam peringkat kelayakan sekali gus mara ke undian utama. Pemain itu menyertai seorang lagi pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng yang bergerak secara profesional di pusingan pertama.

Jun Wei melakar kemenangan pertama menundukkan pemain Iran, Amir Jabbari 21-13, 21-14 sebelum dipaksa beraksi tiga set sebelum mengetepikan lawan dari Sri Lanka, Niluka Karunaratne 21-11, 19-21, 21-18.

Pada pusingan pertama, Jun Wei akan berdepan pemain Thailand, Sitthikom Thammasin. - BERNAMA