Peng Soon-Liu Ying yang juga pilihan keenam gagal menandingi ketangkasan wakil tuan rumah yang juga juara Olimpik 2016 dan terpaksa akur dengan keputusan 20-22, 11-20 dalam aksi yang berlangsung selama 34 minit di Istora Senayan.

Kekalahan itu adalah yang ke-11 mereka dalam 12 pertemuan dengan kali terakhir pasangan bebas negara itu tewas pada Terbuka Indonesia, tahun lalu.

Kejayaan itu juga sangat manis buat Liliyana kerana dia akan meninggalkan dunia badminton dan menceburi bidang perniagaan selepas tamat aksi Indonesia Masters.

Liu Ying mengakui sangat gembira dapat menentang pasangan itu buat kali terakhir sebelum Liliyana bersara, namun, mengakui kesilapan mudah pada set kedua membuatkan mereka tewas.

“Kami sudah bermain dengan baik sewaktu set pertama tetapi hilang keyakinan pada set kedua dan banyak melakukan kesilapan mudah pada penghujung permainan.

“Ia bukan berpunca daripada sokongan padu penyokong tuan rumah kerana kami sudah menjangkakan perkara ini tetapi mereka memang sangat bagus.

“Walaupun tewas, saya rasa gembira kerana dapat menentang Liliyana buat kali terakhir sebelum dia bersara,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.