Pengurus Besar BAM, Lawrence Chew berkata, pihaknya masih meneliti tarikh sesuai dan tidak menolak kemungkinan AGM akan diadakan dalam tempoh kurang dua bulan lagi.

AGM yang bakal berlangsung tahun ini juga akan menjadi pemilihan untuk mengisi kerusi No.1 badan induk sukan badminton tanah air itu yang kini masih disandang Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

“Kami masih cuba untuk menetapkan tarikh, mungkin April sama dengan Terbuka Malaysia. Mengenai pemilihan calon itu saya tidak pasti kerana bukan bidang kuasa saya, tetapi jika ada persetujuan bersama untuk pemilihan calon adalah lebih baik,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini menerusi kolum Mat Sport melaporkan, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid merupakan dua calon utama bagi menggantikan Tengku Mahaleel yang mengundurkan diri pada Oktober 2015 akibat masalah kesihatan.

Mohamad Norza dan Mohamed Al Amin masing-masing memiliki kelebihan serta sumbangan tersendiri bagi pembangunan sukan badminton tanah air.

Gandingan mereka jelas memberikan impak apabila Malaysia merangkul tiga pingat perak di Sukan Olimpik Rio, selain mengangkat Goh V Shem-Tan Wee Kiong selaku pasangan No. 1 dunia.

Sementara itu, Lawrence memberitahu, pemansuhan dua Grand Prix Sirkit Kebangsaan dan pengenalan Kejohanan Kebangsaan bermula, tahun ini merupakan antara pendekatan baharu yang digunakan BAM bagi memberi peluang kepada persatuan negeri menganjurkan kejohanan berstatus Terbuka.

Katanya, BAM sedang giat berbincang bagi memberikan panduan kepada mereka untuk menganjurkan kejohanan sendiri.