Ketua jurulatih badminton perseorangan wanita negara Datuk Tey Seu Bock berkata, prestasi mereka yang tidak menentu itu menyebabkan beliau tidak berani meletakkan sasaran pingat dalam Sukan Asia di Jakarta, 18 Ogos hingga 2 September ini.

Seu Bock berkata, sebagai contoh, Goh Jin Wei gagal memberi persembahan yang diharapkan ketika kalah kepada pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung dalam perlawanan pembukaan Piala Uber Isnin lalu.

Walau bagaimanapun, bekas juara remaja dunia itu berjaya mengejutkan pemain No. 8 dunia He Bingjiao ketika bertemu China pada hari berikutnya.

“Ini standard pemain Malaysia. Mereka boleh bermain bagus tetapi tidak konsisten.

“Kalau mereka hendak ber­saing dalam kelompok 20 terbaik dunia, mereka perlu lebih konsisten. Pemain kita sebenarnya ada kualiti yang baik tetapi tidak konsisten.

“Hendak bersaing dengan pemain terbaik dunia mereka mesti layak ke suku akhir atau separuh akhir dalam kejohanan utama, tetapi pemain kita masuk pusi­ngan pertama atau kedua sudah tersingkir,” kata Seu Bock ketika ditemui di sini, hari ini.

Seu Bock juga mengakui, anak-anak buahnya menunjukkan ba­nyak peningkatan daripada segi permainan tetapi bukan mentaliti, perkara yang perlu diberi lebih perhatian selepas ini.

“Sudah tentu mereka ada mentaliti hendak memperbaiki diri tetapi itu sahaja tidak cukup. Mereka kena bersedia dengan latihan lebih keras dan memiliki kemahuan lebih tinggi kalau hendak pergi jauh.

“Apa yang membimbangkan saya, mereka sudah selesa dengan latihan dan kedudukan sekarang, itu tidak betul. Soniia (Cheah), Jin Wei dan pemain lain kena buat perubahan besar,” ujarnya.

Selain Soniia dan Jin Wei, Malaysia turut membawa bekas naib juara remaja dunia Lee Ying Ying dan S. Kisona yang menunjukkan aksi memberangsangkan di Bangkok.

Kegagalan melepasi pe-ringkat kumpulan dalam Piala Uber kali ini me­nyaksikan kejayaan mara ke suku akhir pada 2010 kekal sebagai penca­paian terbaik skuad badminton wanita ne­­gara.

Berbanding be­regu, pemain per­seorangan me­nun­jukkan prestasi lebih baik di Bangkok dengan mengutip lima mata da­lam tiga perlawanan me­reka. – UTUSAN