Menurutnya, Misbun merupakan antara jurulatih terbaik pernah dihasilkan oleh BAM dan sebagai seorang yang pernah be­kerjasama dengan Misbun sebelum ini, beliau percaya kepulangan legenda itu bakal mengembalikan kegemilangan pemain perseorangan negara.

“Dengan kehadiran Misbun dalam BAM, beliau akan membantu meningkatkan prestasi pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei serta membangkitkan kembali semangat pemain perseorangan badminton negara yang lain.

“Beliau juga akan memastikan kesinambungan dalam melahirkan pemain-pemain muda yang bakal menggantikan tempat Chong Wei pada masa akan datang,” katanya ketika program Kasih Sesuci Le­baran bersama 73 anak yatim anjuran Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) cawangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Nouvelles Visages, di Mydin Mall, Subang Jaya hari ini.

Ahmad Shapawi berkata dalam usaha Chong Wei untuk bergelar juara dunia, pemain itu memerlukan sokongan serta bimbingan daripada jurulatih yang berpe­ngalaman dan individu yang benar-benar mengenali rentak permainannya.

“Kita harus menyokong hasrat Chong Wei yang masih lagi ingin menabur bakti serta mengharumkan nama negara walaupun umurnya sudah mencecah 34 tahun.

“Jadi keazaman beliau yang ingin menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti memerlukan sokongan kejurulatihan yang mantap dan Misbun merupakan pilihan yang tepat,” katanya.

Ahmad Shapawi berpendapat dengan kepulangan Misbun, pemain-pemain muda dalam BAM juga akan menerima tempias berkaitan strategi permainan serta kemahiran teknikal dalam setiap latihan yang dikendalikannya.