Perkara itu disuarakan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang sedikit kecewa dengan prestasi pemain negara pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Jakarta dan Terbuka Denmark baru-baru ini.

Pemain perseorangan lelaki remaja negara, Leong Jun Hao, gagal menamatkan penantian enam tahun negara apabila tewas kepada Kunvalut Vitidsarn dari Thailand 21-17, 15-21, 9-21 dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia.

Sementara pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula tersingkir pada aksi separuh akhir Terbuka Denmark selepas tewas kepada pasangan China Zheng Siwei-Chen Qingchen 16-21, 16-21.

“Inilah kita punya kelemahan iaitu semangat juang dan kekuatan mental yang tidak kuat. Saya sudah maklumkan kepada Michelle Chai (Pengurus Besar BAM) mengenai perkara ini dan juga telah berbincang dengan pihak jurulatih supaya semua ini harus dipertingkatkan,” katanya. – BERNAMA