Bagaimanapun hari ini, bekas pemain nombor satu dunia itu enggan mengulas ketika ditanya potensi menentang jaguh China, Chen Long seawal peringkat suku akhir dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada 21 hingga 27 Ogos ini.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu juga seakan cuba mengelak menjawab soalan media mengenai pandangannya terhadap undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di sini semalam.

“Saya tidak mahu ulas mengenai lawan atau macam mana saya mahu ke final, sebaliknya akan beri tumpuan perlawanan demi perlawanan.

“Kejohanan dunia adalah kejohanan yang besar, jadi saya perlu tenang dan menjaga pemakanan, kesihatan selain dapatkan rehat yang cukup,” katanya ketika ditemui dalam majlis perhimpunan bulanan pertama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, di sini hari ini.

Biarpun bakal berdepan tugas getir di Glasgow, Chong Wei yang menjangkau usia 35 tahun pada 21 Oktober ini tetap yakin mengenai peluang terbaiknya merangkul kejuaraan dunia buat kali pertama selepas gagal dalam lapan percubaan terakhir.

“Ini adalah peluang saya untuk menjadi juara dunia. Ini impian saya dan saya sudah banyak kali gagal,” katanya yang tewas kepada Lin Dan dan Chen Long dalam empat final Kejohanan Dunia sebelum ini.

Mengikut undian oleh BWF, Chong Wei akan memulakan kempen dengan menentang pemain Perancis, Brice Leverdez, dan jika mara ke pusingan kedua, dia bakal bertemu sama ada Misha Zilberman dari Israel atau pemain Croatia, Zvonimir Durkinjak.

Ujian sebenar Chong Wei hadir pada pusingan ketiga apabila dijangka berdepan pilihan ke-10, Tian Houwei dari China, sebelum Chen Long, pemain yang mengalahkannya dalam final Sukan Olimpik tahun lalu dan Kejohanan Dunia 2015 adalah calon menanti di suku akhir.