Juara All England 2017 itu gagal memecahkan rekod kemenangan enam kali legenda badminton Indonesia, Ardy Wiranata dan Taufik Hidayat selepas tunduk 10-21, 18-21 kepada pemain bukan pilihan dari India, HS Prannoy.

Kekalahan itu juga menimbulkan kerisauan dalam kalangan peminat badminton tanah air memandangkan hanya tinggal kurang dua bulan sebelum Chong Wei beraksi dalam Kejohanan Dunia di Glasgow bagi memburu kejuaraan pertamanya.

Bagaimanapun, Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan memberitahu, Chong Wei tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya hanya strategi permainan yang ditampilkan tidak begitu menjadi selain Prannoy menampilkan permainan yang lebih agresif.

Dia mengakui, permainan Chong Wei ketika aksi pusingan kedua sangat perlahan membuatkan lawannya mengambil kesempatan bagi memberikan tekanan sekali gus menguasai keseluruhan permainan.

“Dari segi kelajuan, memang Chong Wei kalah dan atas sebab itu peluang untuk mengatur serangan sangat kurang selain banyak kesilapan dilakukan.

“Bagaimanapun perkara ini tidak begitu membimbangkan dan kita perlu terima kekalahan ini dan sentiasa kekal positif.

“Balik nanti, kami akan berbincang sama ada Chong Wei akan ke Terbuka Australia atau tidak kerana kami mahu dia memuncak secara optimum pada Kejohanan Dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, saingan Terbuka Indonesia kali ini agak berbeza kerana banyak nama-nama besar kecundang awal.

Bagaimanapun, kekalahan Chong Wei di Indonesia bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana dia berdepan cabaran sukar sama seperti pemain-pemain utama dunia yang lain.

“Ini adalah adat permainan, ada menang ada kalah. Seperti yang kita semua tahu, sasaran utama Chong Wei tahun ini adalah Kejohanan Dunia di Glasgow, jadi saya pasti, persiapan rapi akan dilakukannya selepas ini,” katanya.

Chong Wei, juara pada 2007, 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2016, sememangnya meletakkan Terbuka Indonesia sebagai antara sasaran utamanya pada tahun ini bagi menjadi pemain luar pertama mencatat kemenangan terbanyak mengatasi dua legenda negara itu tetapi hasrat itu gagal direalisasikan.

Bintang No. 1 Malaysia itu turun selaku pilihan utama kejohanan tetapi gagal mengelak daripada menjadi mangsa kejutan terbaharu selepas Lin Dan, Carolina Marin serta beregu wanita No.1 dunia Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi dan beregu lelaki No. 1 dunia dari Indonesia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Suka­muljo yang semuanya tersingkir awal.