Pasangan negara bermula dengan baik untuk memenangi set pertama 21-14 ke atas Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto namun kemudian gagal mengekang perubahan corak permainan beregu Indonesia itu untuk tewas dalam dua set berikutnya 22-24, 13-21.

Wee Kiong memberitahu, permainan pantas yang ditampilkan pasangan lawan dalam set kedua menyukarkan mereka untuk menyesuaikan diri dengan pantas sekali gus memberi ruang kepada lawan mereka untuk mendapatkan mata.

Dia mengakui, kelewatan memberi respons terhadap per­ubahan strategi lawan membuatkan mereka sering melakukan kesilapan yang tidak disengajakan.

“Ini merupakan pengajaran besar buat kami, kami lambat memberikan respons dan kami akan pastikan perkara ini tidak berlaku lagi dalam kejohanan seterusnya.

“Kami akan beri tumpuan lebih dalam latihan dan beri le­bih tumpuan kepada permainan kami,” katanya selepas tamat permainan.

Sementara itu acara perseorangan lelaki dalam kejohanan bernilai AS$350,000 dolar (RM1.86 juta) itu menyaksikan pemain No.1 dunia Viktor Axel­sen terpaksa bekerja keras hingga ke set penentuan sebelum me­nundukkan Kenta Nishimoto dari Jepun 21-13, 23-21, 21-18 untuk merangkul kejuaraan pertamanya musim ini.

Acara perseorangan wanita menyaksikan pemain No.1 dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying tewas kepada seteru tradisinya dari Thailand yang juga pilihan kelima Ratchanok Intanon 16-21, 21-14, 22-24.

Pasangan dari Denmark, Kamilla Rytter Juhl-Christinna Pedersen muncul juara selepas menundukkan pilihan utama Chen Qingchen-Jia Yifan dari China 22-20, 21-18 manakala pilihan kedua dari Hong Kong, Tan Chung Man-Tse Ying Suet mengetepikan cabaran pilihan kelima dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong 19-21, 22-20, 21-18 untuk menjua­rai acara beregu campuran.