Timbalan Presiden BAM itu berkata, pertandingan dalam pemilihan yang dijadual berlangsung bulan ini hanya akan mewujudkan suasana tidak harmoni dalam kalangan ahli BAM.

“Saya sudah berkata sebelum ini bahawa saya menawar diri untuk jawatan Presiden, namun saya berharap tradisi kita untuk tidak ada pertandingan kalau boleh dikekalkan.

“Kita tidak mahu sebarang pertandingan yang boleh mendorong kepada sikap berpuak-puak dan persengketaan yang akhirnya tidak memberi faedah kepada sukan ini. Badminton menjadi harapan dan aspirasi rakyat, terutama kita akan menghadapi Sukan Olimpik 2020.

“Pada masa terdekat kita ada Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, Mei ini. Kalau boleh, kita selesaikan perkara ini (pemi­lihan) secepat mungkin dan kembali kepada tugas utama sebab kita tidak mahu perkara ini berlarutan. Itu harapan saya.

“Jika ada pertandingan untuk jawatan Presiden saya tetap akan bertanding,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Penajaan Jersi Brand 57 (B57) dan penyampaian Anugerah Emas Khas B57 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Norza, yang juga Timbalan Majlis O­limpik Malaysia (MOM) memaklumkan beliau belum mengadakan pertemuan dengan Pemangku Presiden, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid yang turut berminat menduduki kerusi No. 1 BAM.

Sementara itu, bekas Presiden BAM, Tan Sri Elyas Omar yang menerima Anugerah Emas Khas B57 berkata, pada majlis tersebut beliau enggan mengulas berhubung isu kerusi No. 1 badan induk tersebut sebaliknya mahu melihat kemajuan dapat dilakukan oleh tampuk kepemimpinan yang baharu.

“Saya minta maaf sebab tidak boleh masuk campur. Saya ini bekas Presiden BAM nanti orang kata sayaberi sokongan kepada Datuk Seri Norza. Saya cuma nak te­ngok kemajuan selepas presiden baharu dilantik, terutama membawa balik Piala Thomas.

“Kita tidak boleh biar trofi itu berada di negara lain tetapi BAM perlu ada perancangan kerana untuk dapatkan Piala Thomas bukan senang,” kata Elyas, yang merupakan Presiden BAM terakhir memenangi Piala Thomas pada 1992.

Turut hadir Pengerusi B57, Datuk Azwanddin Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Brand 57, Hamdan Mohd. Saleh dan Setiausaha Bekas Pelajar Alumni St John, Mohd. Razif Yusof.