Mohamad Norza Zakaria
Mohamad Norza Zakaria

Menurut sumber BAM, Mohamad Norza hampir pasti bakal menerajui badan induk badminton negara itu andai majoriti Exco menolak pertan­dingan dalam pemilihan April ini.

Bagi memastikan beliau mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada badminton, sukan yang menjadi sandaran memburu pi­ngat emas pertama di Sukan ­Olimpik Tokyo 2020, Mohamad Norza dikatakan sanggup melepaskan kedudukannya sebagai Penegerusi ISN serta Bendahari FAM.

“Semua ahli majlis BAM sudah me­nerima surat ‘gentlemen’s agreement’ yang dihantar Presiden Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff iaitu memilih Mohamad Norza sebagai pre­siden baharu sebagai penggantinya.

“Jika Exco memilih untuk mengekalkan keharmonian dalam persatuan dan menghormati surat berkenaan, Mohamad Norza hampir pasti akan dipilih sebagai presiden baharu tanpa sebarang pertan­dingan.

“Jika beliau dipilih untuk menggantikan Tengku Mahaleel, Mohamad Norza sudah bersedia melepaskan jawatan dalam ISN dan FAM kerana mahu memberi fokus penuh kepada BAM serta MOM (Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia),” kata sumber berkenaan kepada Mingguan Malaysia, hari ini.

Sukan badminton tanah air sebelum ini dikejutkan dengan kewujudan surat ‘gentlemen’s agreement’ antara pemimpin kanan BAM mengenai siapa yang bakal menggantikan Tengku Mahaleel yang berehat daripada memegang jawatan itu sejak Oktober 2015.

Sebelum ini, tempat Tengku Mahaleel dipangku oleh Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid yang merupakan Timbalan Presiden, jawatan sama yang diduduki Mohamad Norza.

Perjanjian tersebut dipersetujui antara Tengku Mahaleel, Mohamed Al Amin dan Mohamad Norza serta ‘orang atas’ di Kementerian Belia dan Sukan, yang mana perubahan akan dibuat selepas tamat Sukan ­Olimpik 2016 atau berakhirnya penggal jawatankuasa sedia ada tahun ini.

Berdasarkan kepada perjanjian tersebut, Mohamed Al Amin diberi tugas memangku jawatan presiden dan peralihan kuasa diberikan kepada Mohamad Norza dalam pemilihan akan datang.

“Surat itu juga bertujuan mengingatkan barisan Exco mengenai perjanjian itu kerana ada di antara mereka ketika ini sudah lupa bahawa Tengku Mahaleel masih lagi presiden yang sah dan bertujuan mengekalkan keharmonian dalam persatuan

“Mohamed Al Amin juga tahu yang beliau perlu menye­rahkan jawatan yang dipangku itu kepada Mohamad Norza dalam pemilihan akan datang dan ia sudah dipersetujui sebelum ini,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Mohamed Al Amin ketika dihubungi enggan menggulas, sebaliknya akan mengadakan sidang akhbar pada Isnin ini bagi menyatakan pendiriannya berhubung surat berkenaan.