Keputusan itu dibuat untuk membolehkan beliau memberikan tumpuan penuh terhadap program pembangunan yang dirancang bersama BAM selain memberi ruang kepadanya untuk menguruskan masa dengan lebih baik.

Katanya, berdasarkan kepada keputusan itu, Janih Bangud yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan BAM akan menyandang jawatan Pemangku Presiden KLBA menggantikan dirinya.

“Peletakan jawatan selaku Pengerusi ISN ini sudah saya maklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin) selain ahli lembaga pengarah dan tindakan ini adalah bertepatan untuk membolehkan saya memberi fokus sepenuhnya kepada BAM.

“Tugas selaku Presiden BAM bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan kerjasama semua pihak terutama daripada presiden persatuan di peringkat negeri untuk menjayakan setiap perancangan masa hadapan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM yang Ke-72, di sini hari ini.

AGM BAM hari ini mungkin yang paling pantas berakhir dalam sejarah kerana hanya berlangsung kira-kira sejam, dengan kesemua Ahli Majlis BAM sebulat suara memilih Tan Sri Abdul Aziz Hussain dan Datuk Lim Teong Kiat sebagai Timbalan Presiden yang baharu manakala Datuk Ng Chin Chai mengekalkan kedudukannya selaku Setiausaha Kehormat bagi penggal 2017-2021.

Sementara itu, Tan Sri Moha­med Al Amin Abdul Majid di­pilih secara sebulat suara selaku Penasihat BAM manakala bekas presiden Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dipilih selaku Pre­siden Kehormat persatuan itu.

Ketika ditanya mengenai sasaran yang ditetapkan untuk BAM bagi penggal akan datang, Mohamad Norza berkata, pihaknya akan memastikan Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara diserahkan sepenuhnya kepada mereka pada Januari 2018 untuk membolehkan kesemua 150 pelatih menjalani latihan di situ termasuk dalam kalangan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Pihaknya juga akan menjalankan analisis terperinci terhadap setiap pemain bagi meningkatkan prestasi mereka sebelum bersaing dalam kejohanan yang lebih besar.

Pada masa sama, beliau juga menyasarkan dua pemain akan melayakkan diri bagi setiap acara yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik 2020 bagi mencerahkan peluang meraih pingat emas pertama negara di temasya sukan berprestij itu.

“Tidak guna kita meletakkan sasaran tinggi sekiranya tiada pemain yang mampu merealisasikan impian kita, macam sekarang ini semua orang melihat acara perseora­ngan lelaki sebagai penanda aras dan saya akui kita mempunyai masalah di dalam acara itu,” katanya.