Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, arena badminton negara berdepan si­tuasi membimbangkan khususnya dengan peningkatan ketara khususnya dari negara seperti Taiwan, Hong Kong, India dan Jepun.

Katanya, berdasarkan ranking dunia yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Malaysia dilihat agak ketinggalan dalam semua acara dengan keba­nyakan negara bukan tradisi mula menempatkan pemain mereka ke dalam kelompok 50 terbaik.

“Seperti perseorangan lelaki, India mempunyai tiga pemain dalam kelompok 20 terbaik dunia tetapi kita hanya ada seorang sahaja manakala untuk beregu lelaki pula, Indonesia ada lima pasangan dan Taiwan ada tiga dalam kelompok 20 terbaik tetapi Malaysia hanya ada satu sahaja.

“Taiwan ada tujuh pemain dalam kelompok 50 terbaik dunia dalam acara perseorangan wanita manakala Malaysia ada seorang sahaja, beregu wanita pula Malaysia ada tiga sahaja dalam kelompok 50 terbaik dan Jepun ada sembilan pasangan.

“Berdasarkan statistik ini, keada­an sangat membimbangkan dan pemain perlu segera bangkit selain sedar bahawa keadaan sudah berubah,” katanya selepas Mesyuarat Ahli Majlis BAM, di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

BAM juga memperkenalkan sistem ‘keluar/masuk’ yang mana akan ada pemain digugurkan andai tidak mencapai prestasi yang ditetapkan badan induk itu dan pemain baharu dibawa masuk. Proses itu akan dijalankan seba­nyak dua kali setahun iaitu pada Februari dan Ogos.