Keputusan itu dicapai selepas kedua-dua Timbalan Presiden BAM itu mengadakan pertemuan tertutup semalam setelah diberikan mandat oleh barisan Ahli Majlis untuk mencari jalan penyelesaian sebelum kongres pemilihan pada 29 April ini.

Hasil pertemuan itu juga menyaksikan Mohamed Al Amin diberi kepercayaan untuk terus bersama badan induk sukan badminton kebangsaan pada penggal akan datang selaku penasihat.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat selepas hasil perbincangan di antara mereka dibawa kepada pengetahuannya dan Penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor.

Katanya, jalan penyelesaian yang dicapai itu seharusnya dijadikan contoh oleh persatuan sukan yang lain kerana ia berjaya diselesaikan dengan cara kekeluargaan tanpa melibatkan sebarang perpecahan dalam kalangan ahli.

“Menerusi perbincangan itu, Tan Sri Al Amin bersetuju untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Norza untuk dilantik sebagai Presiden BAM yang baharu pada pemilihan 29 April ini selepas mendapat persetujuan daripada penaung.

“Selepas mengambil kira sumbangan yang telah diberikan Tan Sri kepada sukan badminton negara, barisan Ahli Majlis bersetuju untuk membawa satu usul pada pemilihan akan datang untuk Tan Sri Al Amin selaku penasihat,” katanya kepada pemberita di Seri Perdana, di sini hari ini.

Kemelut pucuk kepemimpinan BAM timbul selepas wujudnya gentlemen’s agreement dalam kalangan pemimpin kanan BAM mengenai siapa yang bakal menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang berehat daripada memegang jawatan itu sejak Oktober 2015.

Perjanjian tersebut dikatakan telah dipersetujui bersama oleh Tengku Mahaleel, Mohamad Norza serta ‘orang atas’ di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang mana perubahan pu­cuk pimpinan BAM akan di­buat selepas tamat Sukan ­Olimpik 2016 atau ber­akhirnya penggal jawatankuasa sedia ada tahun ini.

Sementara itu, Rosmah berharap barisan kepimpinan baharu BAM dapat meningkatkan prestasi semasa skuad badminton kebangsaan supaya menjadi lebih konsisten berbanding ketika ini.

Beliau turut menasihatkan presiden baharu supaya bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan prestasi pemain menjadi lebih baik dalam setiap kejohanan yang disertai mereka.